PENANJONG GARISON, Jumaat, 3 Mei 2019 - Warga Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim dan Anak-anak Istimewa sempena sambutan Jubli Emas IL ABDB, bertempat di Mes Pegawai Penanjong Garison. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran 5 anak-anak yatim dan 9 anak-anak istimewa kepada anggota-anggota IL ABDB bersama keluarga.
Anak-anak yang dijemput berkesempatan untuk beramah mesra bersama Komandan IL ABDB, Yang Mulia Leftenan Kolonel Mohammad Shafiee bin Haji Duraman bersama isteri serta Pegawai-pegawai IL ABDB, wakil-wakil daripada pihak BAKTI serta wakil warga anggota IL ABDB yang turut hadir pada majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh Yang Mulia, Muhd Syakir Farhan bin Haji Omar, Imam Surau Al-Hikmah, Penanjong Garison dan seterusnya penyampaian derma. Sumbangan berbentuk wang tunai dan hadiah daripada Tabung Kebajikan IL ABDB disampaikan oleh Yang Mulia Komandan IL ABDB, sumbangan dari wakil BAKTI, Zaiton binti Haji Abu Talip, isteri Komandan IL ABDB serta sumbangan daripada wakil warga IL ABDB, Yang Mulia PW1 Norkamal bin Haji Salleh, Garison Sarjan Mejar Penanjong Garison dan tajaan daripada wakil Jolibee Tutong, Yang Mulia, Parsicio C Mojos.
Majlis ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan sempena Sambutan Jubli Emas IL ABDB pada tahun ini yang dihasratkan agar memupuk rasa pemedulian di kalangan anggota IL ABDB dan keprihatinan terhadap anak-anak istimewa dan anak-anak yatim.


