PENANJONG GARISON, 16 FEBRUARI 2016 – Pada petang tadi, Pusat Evolusi IL ABDB telah mengadakan Majlis Penutupan Kursus Asas Komputer Siri 2/2016. Kursus Asas Komputer merupakan kursus mandatori kepada anggota-anggota vokasyen perkeranian. Dalam kursus ini, anggota-anggota perkeranian dikenalkan kepada pengetahuan asas teori komputer serta asas-asas penggunaan Windows 7 dan Microsoft Office. Matlamatnya adalah bagi melahirkan anggota perkeranian yang celik komputer dan berkemahiran dalam penggunaan komputer.
Kursus yang dikendalikan oleh Cawangan Teknologi Maklumat ini telah berjalan selama 5 minggu bermula pada 17 Januari 2017 yang lepas. Ini adalah siri kedua dan terakhir dalam Ramalan Latihan/Kursus IL ABDB bagi Tahun 2016/2017, sebelum tahun latihan baharu bermula pada 1 April 2017 nanti.
Dalam majlis petang tadi, 23 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berjawatan kerani telah menerima sijil masing-masing. Sesi penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh Yang Mulia, Mejar Siti Noorlelawati binti Hj Emran, Pemangku Pegawai Memerintah Pusat Evolusi, selaku Tetamu Kehormat. Beliau juga telah sudi menyampaikan Sijil Penuntut Terbaik Keseluruhan kepada 17033 Sld Mohd Kalong bin Salleh dari Jabatanarah Logistik, Kementerian Pertahanan.Di dalam ucapan penutupnya, Mejar Siti Noorlelawati telah turut mengingatkan kepada kesemua 23 anggota yang mengikuti Kursus Asas Komputer Siri 2/2016 ini supaya mengambil inisiatif serta membuat pembaharuan dalam pelaksanaan tugas masing-masing dengan mengaplikasikan ilmu dan kemahiran penggunaan komputer yang diperolehi dalam kursus ini.
