PENANJONG GARISON, Khamis 17 November 2016 – Sebagai salah satu langkah perkembangan kerjaya seperti yang termaktub dalam Struktur Perkembangan Kerjaya (SPK), Kursus Peningkatan Komputer digubalkan sebagai salah satu kursus mandatori bagi anggota-anggota dalam vokasyen perkeranian.
Pusat Evolusi IL ABDB telah mengadakan Majlis Penutup Kursus Peningkatan Komputer Siri 2/2016. Ini adalah kumpulan kedua dalam siri latihan/kursus bagi tahun 2016/2017. Kursus ini telah dikendalikan oleh Cawangan Teknologi Maklumat bermula pada 12 Oktober 2016 selama 6 minggu. Tetamu Kehormat bagi majlis berkenaan adalah Yang Mulia Mejar Ernie Ermawati binti Mohd Erman, Pegawai Memerintah Pusat Evolusi.
Kursus ini yang merupakan satu kesinambungan kepada Kursus Asas Komputer, bertujuan untuk meningkatkan lagi kemahiran-kemahiran anggota perkeranian dalam penggunaan Ms Word, Ms Excel serta Ms Powerpoint melalui pelajaran-pelajaran lanjutan.
Tetamu Kehormat telah menyempurnakan penyampaian sijil kursus kepada 13 orang peserta kursus yang terdiri daripada 3 orang anggota dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), seorang anggota dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), 4 orang anggota dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), 4 orang anggota dari unit-unit di Kementerian Pertahanan serta seorang anggota dari Rejimen Pasukan Khas (RPK). Anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan bagi kursus ini telah diraih oleh 19667 LKpl Ahnaf bin Karim daripada TDDB.
