PENANJONG GARISON, Khamis, 23 Ogos 2018 – Majlis Penutupan Kursus Penyelia dan Pengawas Padang Tembak Siri 2/2018, Cawangan Latihan Senjata Ringan telah berlangsung di Bilik Kuliah Cawangan Membaca Peta, Sekolah Infantri Institut Latihan ABDB. Seramai 39 anggota tentera telah mengikuti kursus ini yang terdiri dari TDDB seramai 16 anggota, TLDB seramai 02 anggota, IL ABDB seramai 08 anggota, RPK seramai 02 anggota, KEMENTAH seramai 07 anggota dan PDB seramai 02 anggota.
Kursus ini dijalankan selama lapan minggu bertujuan untuk melahirkan serta melayakkan Pegawai-Pegawai dan PTB-PTB Kanan supaya berkemahiran dan berpengetahuan di dalam tatacara pengendalian padang tembak. 16700 Sjn Md Azrin bin Hj Masir telah merangkul ‘Penuntut Terbaik Keseluruhan’. Manakala ‘Penuntut Terbaik Teori’ disandang oleh 1016 Kpt Dk Hjh Siti Noraishah binti Pg Hj Tajudin dan ‘Penuntut Terbaik Amali’ diraih oleh 21385 Sjn Nur Atiqah binti Awg Mahani.
Tetamu Kehormat bagi majlis penutupan tersebut ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Pg Noor Rumaizi bin Pg Othman, Ketua Jurulatih IL ABDB. Yang Mulia Tetamu Kehormat dalam ucapannya menyatakan dengan menghadiri kursus ini para peserta kursus secara langsung telah mendapat kelayakkan untuk mengendalikan padang tembak dengan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi semasa berkursus secara professional dan menjalankan tugas secara efektif mengikut SOP Padang Tembak yang telah ditetapkan dan bukannya mencari jalan yang singkat dan mudah. Acara kemuncak bagi majlis tersebut diikuti dengan penutupan rasmi Kursus Penyelia dan Pengawas Padang Tembak Siri 2/2018. Majlis disudahi dengan bacaan doa dan sesi bergambar ramai.