PUSAT EVOLUSI, INSTITUT LATIHAN ABDB, JUMAAT 28 OKTOBER 2016. Majlis Penutup Kursus bagi Kursus Kepimpinan Koperal Siri 1/2016 telah berlangsung di Bilik Kuliah Halbi, Pusat Evolusi Institut Latihan ABDB. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia, Mejar Ernie Ermawati binti Mohd Erman, Pegawai Memerintah Pusat Evolusi Institut Latihan ABDB Turut hadir pada pagi ini ialah Pegawai-Pegawai Jemputan, PTB-PTB Kanan serta Guru-Guru.
Kursus ini telah dijalankan selama 3 minggu iaitu bermula pada 10hb Oktober 2016 hingga 28hb Oktober 2016 dengan penyertaan seramai 44 anggota daripada Kementerian Pertahanan, Akademi Pertahanan, Institut Latihan dan 2 anggota daripada Pasukan Polis Diraja Brunei. Selama tempoh kursus tersebut, antara pelajaran yang telah diserapkan oleh Cawangan Kepimpinan dan Pengurusan ialah pelajaran kawad secara teori dan praktikal, pelajaran asas persuratan tentera, konsep kepimpinan yang berkesan, pengurusan masa dan penyelesaian masalah. Diakhir minggu, peserta kursus telah berjaya menduduki ujian teori dan praktikal.
 
Majlis pagi ini dimulakan dengan bacaan surah Al-Mukminun yang diketuai oleh Kpl Nazirul bin Asmat dan kemudian diteruskan dengan ucapan daripada wakil Penuntut, Kpl Muhd Umar Abdul Aziz bin Abu Bakar. Setelah itu Ketua Cawangan Kepimpinan dan Pengurusan, Lt Majiidah binti Hj Sidek menjemput Yang Mulia Tetamu Kehormat untuk menyampaikan sijil kepada peserta kursus dan seterusnya memberikan ucapan. Pada kursus ini, beberapa penghargaan telah diberikan kepada peserta kursus atas hasil usaha mereka antaranya ialah, sijil bagi Penuntut Terbaik Akademik, Penuntut Terbaik Amali, dan Penuntut Terbaik Keseluruhan. Dalam ucapan Yang Mulia Tetamu Kehormat, beliau memberikan ucapan tahniah kepada semua peserta kursus terutama sekali penerima-penerima anugerah di atas pencapaian mereka. Beliau juga menyentuh agar peserta kursus mengambil manfaat daripada kursus ini yang mana keberkesanan kursus ini akan diserlahkan lagi jika para peserta kursus berjaya mengaplikasikan dalam melaksanakan tugas yang dipertangungjawabkan jika kembali ke unit masing-masing nanti. Selesai ucapan daripada Yang Mulia Tetamu Kehormat, majlis disudahi dengan bacaan doa penutup kursus daripada wakil peserta kursus.