TUTONG, Khamis, 19 Julai 2018 - Segenap lapisan rakyat dan penduduk di daerah ini sejak awal pagi lagi sudah membanjiri Kompleks Dewan Kemasyarakatan menanti keberangkatan tiba raja yang dikasihi bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Tutong. Daerah Tutong merupakan daerah yang memulakan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat di daerah berkenan yang tetap menjadi ristaan sepanjang zaman.
Ratusan murid sekolah-sekolah rendah dan menengah beratur disepanjang tepi jalan raya menuju ke Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan sambil mengibarkan bendera-bendera kecil Negara Brunei Darussalam bagi mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat Diraja yang lain.
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM berserta Kerabat Diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-72.

Berangkat sama, Paduka-Paduka Anakanda dan Adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sejurus keberangkatan tiba, lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dikumandangkan serta diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei diikuti dengan laungan tiga kali ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’.
Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain dalam sembah kesyukuran dan taat setia selaku wakil rakyat serta penduduk Daerah Tutong menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah DYMM bercemar duli dan junjung ziarah bersama rakyat juga penduduk Daerah Tutong.
Sesungguhnya keberangkatan Kebawah DYMM ke Daerah Tutong sembahnya, merupakan peluang keemasan yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk di daerah ini bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam terhadap Raja yang sangat dicintai.
Seterusnya Baginda berserta Kerabat Diraja dijunjung bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi, Jawatankuasa Perayaan, Penghulu-penghulu, peserta-peserta persembahan khas dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan serta rakyat dan penduduk Daerah Tutong.
Pada Majlis Junjung Ziarah itu, Kebawah DYMM juga berkenan menerima beberapa pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-72 Tahun.
Kemudian Kebawah DYMM berserta Kerabat Diraja dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Persantapan, Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan yang didahului dengan bacaan Doa Selamat.
Sebelum berangkat balik meninggalkan Dewan Persantapan Dewan Utama, Kebawah DYMM berserta Kerabat Diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.