50.jpgPENANJONG GARISON, Khamis, 27 Julai 2023 – Majlis Penutupan Kursus Peningkatan Logistik Siri 1/2023 dan Kursus Penyelenggara Stor Peluru Unit Sesi 2023 dikendalikan oleh Cawangan Latihan Logistik, Sekolah Pertukangan Tentera, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (Cwgn Lthn Log, SPT IL ABDB) telah sempurna dilaksanakan.

Kursus Peningkatan Logistik Siri 1/2023 adalah kesinambungan bagi peserta kursus yang telah menghadiri Kursus Asas Logistik.  Peserta kursus didedahkan kepada dua (02) silibus iaitu pengurusan dan pengisian perakaunan kuartermaster dan tatacara serta proses logistik di setiap unit dalam ABDB.  Peserta kursus juga telah didedahkan dan diajarkan tatacara pembelian serta membuat ulasan sokongan bagi pembelian unit. Kursus ini dapat mempertingkatkan kefahaman serta pengetahuan akan proses-proses logistik termasuk pembelian kelengkapan tentera bagi keperluan unit, tatacara, pengurusan dan penjagaan stor serta kelengkapan-kelengkapan tentera dalam ABDB.

Kursus ini telah dijalankan selama Enam (06) minggu dan seramai 34 anggota telahpun berjaya menamatkan kursus ini yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei (ASMDB) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).

Manakala bagi Kursus Penyelenggara Stor Peluru Unit, peserta-peserta kursus telah diperkenalkan jenis-jenis peluru dan bahan letupan. Mereka juga diberi tunjuk ajar mengenai pengendalian peluru, tatacara penyimpanan yang betul dan selamat serta pengurusan permintaan dan penerimaan peluru.  Kursus ini dapat meningkatkan keyakinan anggota dalam melaksanakan proses permintaan dan penyimpanan yang selamat serta membolehkan anggota mengekalkan unit masing-masing dalam keadaan siapsiaga. Keramaian peserta kursus ini adalah seramai 11 anggota yang terdiri daripada TDDB, TUDB, IL ABDB, Akademi Pertahanan ABDB dan KEMENTAH telah berjaya menamatkan kursus ini.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Majlis ini ialah Mejar Nurulain Rawiah binti Hj Mohd Raub, Pegawai Pemerintah SPT IL ABDB.  Turut hadir adalah Pemangku Pegawai Latihan Logistik SPT IL ABDB, Sekolah Sarjan Mejar SPT IL ABDB, para jemputan dan jurulalatih-jurulatih Cwgn Lthn Log SPT IL ABDB.

Yang Mulia Tetamu Kehormat menyampaikan sijil kepada peserta-peserta kursus dan diteruskan dengan penyampaian sijil Penuntut Terbaik.  Penuntut Terbaik Keseluruhan bagi Kursus Peningkatan Logistik Siri 1/2023 disandang oleh 50137 LKpl Nuh bin Mohd Salleh dari unit Depoh Logistik KBK TDDB dan Penuntut Terbaik Keseluruhan bagi Kursus Penyelenggara Stor Peluru Unit Sesi 2023 disandang oleh 50983 Kpl Abd Halim bin Hj Ramli dari unit Kuartermaster 1Bn TDDB.

Yang Mulia Tetamu Kehormat telah menzahirkan ucapan tahniah kepada peserta-peserta kursus diatas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang kursus dijalankan dan menekankan kepada semua peserta kursus agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas serta sentiasa bersiap sedia menerima sebarang tugas dengan baik mengikut keperluan semasa diiringi dengan usaha yang istiqamah, penuh dengan nilai-nilai murni. Yang Mulia Tetamu Kehormat juga mengingatkan kepada semua peserta kursus, sifat jujur dan amanah harus ada dalam pendirian masing-masing dan sentiasa berwaspada.

47.jpg