PENANJONG GARISON, Jumaat, 28 April 2023 – Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah ABDB telah berkesempatan berkunjung ke Institut Latihan ABDB (IL ABDB) bagi sesi perjumpaan bersama Rekrut Lelaki Pengambilan ke-170 yang dijadualkan akan menamatkan latihan pada 05 Mei 2023. Sesi perjumpaan tersebut telah berlangsung di Dewan Nikmat, Penanjong Garison.
Turut hadir di sesi perjumpaan tersebut adalah Yang Mulia Leftenan Kolonel Pengiran Noor Rumaizi bin Pengiran Othman, Komandan IL ABDB, Pegawai-Pegawai Kanan IL ABDB, Pegawai-Pegawai, Pegawai Tidak Bertauliah Kanan serta jurulatih Kompeni Rekrut IL ABDB.
Sesi perjumpaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Mulia Afiq Abdul Halim bin Hj Daniel, Imam Surau Al-Hikmah, Penanjong Garison.
Di awal sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah ABDB telah menzahirakn ucapan tahniah kepada lapisan-lapisan kepimpinan IL ABDB dan Kompeni Rekrut serta Jurulatih dalam merealisasikan perubahan dasar Latihan Asas Rekrut daripada 32 minggu kepada 14 minggu.
Yang Mulia Pemerintah ABDB telah menyampaikan kata-kata nasihat kepada para rekrut yang antaralain telah menyentuh dan menekankan kepentingan Kecergasan Fizikal, Kekuatan Mental dan Rohani disamping nilai-nilai teras ABDB iaitu Takwa, Setia, Berani dan Profesional sebagai tunggak utama yang perlu tertanam serta dipraktikkan disepanjang perkhidmatan sebagai seorang tentera. Sesi perjumpaan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, sesi begambar ramai dan jamuan ringan.
