PENANJONG GARISON, Khamis 28 Julai 2022 – Majlis Penutup Kursus Peningkatan Logistik Siri 1/2022 telah dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Kursus ini dihadiri oleh 36 anggota yang bermula pada 20 Jun 2022 hingga 28 Julai 2022 yang dikendalikan oleh Cawangan Latihan Logistik Sekolah Pertukangan Tentera Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (CLLog SPT IL ABDB).

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Majlis ini ialah 654 Mejar Aida Juraifah binti Haji Bujang, Timbalan Pegawai Turus Logistik, Jabatanarah Logistik.  Turut hadir adalah Pegawai Latihan Logistik, Ketua Cawangan Memandu, Sekolah Sarjan Mejar dan Jurulatih-jurulatih CLLog SPT IL ABDB.

Kursus ini merupakan kursus kerjaya yang perlu dihadiri oleh anggota-anggota yang bertugas di dalam unit-unit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang mana melalui kursus ini, peserta-peserta kursus telahpun didedahkan dengan pembelajaran perakuanan stor dan diuji dengan ujian praktikal di Depoh logistik mengenai proses permintaan kelengkapan tentera. Kursus ini telah dikendalikan selama Enam (06) minggu dan seramai 36 anggota kursus telahpun berjaya menamatkan kursus ini yang terdiri daripada Tujuh Belas (17) anggota dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tiga (03) anggota dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Enam (06) anggota dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Dua (02) anggota dari Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Dua (02) anggota dari Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB) dan Enam (06) anggota daripada Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Ayat Suci Al-Quran iaitu Surah An-Nisa, Ayat 56-59 yang dibacakan oleh 19430 LKpl Abd Muiz bin Aji wakil peserta kursus daripada Depoh Logistik, Khidmat Bantuan Kombat (KBK, TDDB). Majlis kemudian diteruskan dengan ulasan kursus daripada Jurulatih Pengendali kursus, 16949 SSjn Mohd Sumardy bin Sulaiman. Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil bagi Penuntut Terbaik Keseluruhan dan Penuntut Terbaik Teori yang disandang oleh 19391 LKpl Md Nur Amdana bin Sani daripada Depoh Logistik KBK TDDB dan Penuntut Terbaik Amali yang disandang oleh 17062 Kpl Pg Zul Hilmy bin Pg Mohammad daripada unit PolisTentera, Kementerian Pertahanan. Bagi kategori Penuntut Terbaik Pembentangan diraih oleh 51534 LsM Md Syafiq bin Hj Sulaiman dari Logistik TLDB. Seterusnya Yang Mulia Tetamu Kehormat menzahirkan ucapan tahniah kepada peserta-peserta kursus diatas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang kursus dijalankan dan menekankan kepada semua peserta kursus agar dapat melaksanakan tugas dengan profesional dan penuh dedikasi terhadap semua tugasan yang diberikan dan memberikan bantuan dalam melicinkan lagi segala proses perbekalan dan pembelian kelengkapan di ABDB.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kenangan kepada Yang Mulia Tetamu Kehormat. Majlis perasmian penutupan kursus diakhiri dengan bacaan doa selamat dan diteruskan dengan sesi bergambar ramai.