Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksNews Headline

UPACARA PERBARISAN TAMAT LATIHAN REKRUT LELAKI PENGAMBILAN KE-164 DAN REKRUT WANITA PENGAMBILAN KE-55

PENANJONG GARISON, Juma’at, 16 Ogos 2019 – Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-164 seramai 221 anggota dan Rekrut Wanita Pengambilan Ke-55 seramai 57 anggota telah berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Penanjong Garison. Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi upacara tersebut ialah Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Nor bin Haji Jeludin, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam.

Sebelum perbarisan masuk ke padang kawad, doa selamat telah dibacakan oleh anggota Jama’at IL ABDB bagi memohon keberkatan dan kelancaran perlaksanaan Upacara Perbarisan Tamat Latihan. Upacara telah dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan yang diketuai oleh Tetamu Kehormat Majlis dan diteruskan dengan acara perbarisan berjalan lalu sebelum Tetamu Kehormat Majlis menyampaikan hadiah kepada 4 orang jurulatih dan 8 orang anggota rekrut lelaki dan wanita yang telah menerima anugerah mengikut kategori masing-masing. Acara diakhiri dengan sesi ramah mesra diantara Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera bersama para ibubapa, keluarga dan sahabat rekrut-rekrut yang diraikan di Dewan Nikmat Penanjong Garison. 

Pada sebelah petang, Yang Mulia Kolonel Mohammad Shafiee bin Haji Duraman, Komandan IL ABDB secara peribadi telah berkesudian untuk membuat sesi pejumpaan bersama penerima-penerima anugerah bagi menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan beliau.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT jua, semua rekrut bejaya menamatkan Latihan Asas Ketenteraan selama 31 minggu bagi rekrut lelaki dan 21 minggu bagi rekrut wanita. Soldadu Lelaki Pengambilan Ke-164 dan Soldadu Wanita Pengambilan Ke-55 akan mula bercuti pada 17 Ogos 2019 selama 2 minggu sebelum melapor semula ke Kompeni Rekrut, IL ABDB untuk diserahkan ke unit masing-masing.